✿Sahabatku✿

Follow

Sunday, February 17, 2013

Allah SWT Maha Bijaksana


pix
“Ibu, dalam Asmaul Husna ada kata Allah SWT Al Hakim. Maknanya Maha Bijaksana. Betul ke Allah Maha Bijaksana? Apa yang Allah dah buat? Adik tak nampak pun.

Memang ada ketikanya soalan-soalan yang anak-anak kita utarakan mencabar minda. Secara umumnya, kita semua pasti faham apa yang anak-anak ini maksudkan dan boleh menjawabnya. Tetapi, bagaimanakah cara terbaik untuk menjawab soalan-soalan itu agar mereka boleh faham dan tidak perlu tanya berulang kali.

Misalnya soalan di atas tadi. Menerangkan tentang sesuatu yang benda yang kita semua tidak nampak memang sukar. Apatah lagi apabila soalan tersebut ada kaitannya dengan agama. Jawapan yang diberikan mesti tepat dan tidak boleh direka sesedap rasa. Untuk itu, kita sendiri sebagai ibu bapa mestilah berilmu.

Bagi persoalan tadi, anda boleh memberitahu anak bahawa semua yang ada di dunia ini Allah SWT yang cipta. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bulan, bintang, matahari, malah bumi sendiri Allah SWT yang buat. Hebat bukan? Hanya yang bijaksana sahaja boleh mencipta.

Supaya anak lebih jelas, gunakan contoh yang dekat dengan kita. Misalnya tubuh badan sendiri. Ajak anak melihat anggota tubuh mereka sendiri. Beritahu mereka bahawa setiap yang ada pada tubuh kita Allah SWT telah cipta dengan begitu sempurna. Kaki kita contohnya. Pada kaki ada lutut. Lutut membolehkan kita membengkokkan kaki supaya kita dapat berjalan. Bayangkan jika kita tidak ada lutut, bagaimanakah caranya kita hendak berjalan? Anak-anak tentu boleh faham dan menerima jawapan yang anda berikan ini tanpa mempertikaikannya kerana penerangan anda begitu jelas dan dia sendiri dapat membayangkan kesukaran dia berjalan jika tidak ada lutut.

Satu lagi contoh Allah SWT Maha Bijaksana ialah tentang ikan. Walaupun ikan tinggal di laut, isinya tetap sedap dimakan dan tidak masin seperti air laut. Begitu juga dengan buah durian, Allah SWT menciptakan kulit yang berduri untuk menjaga isinya yang lembut dan enak.   

Kesimpulannya, selain daripada perlu berilmu, ibu bapa mestilah kreatif ketika menjawab setiap soalan anak dan gunakan contoh yang dekat dengan mereka. Barulah mereka faham dan berpuas hati dengan jawapan anda.
Share:

0 lovely notes:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧