Sikap dan tingkah laku si ibu boleh diwarisi oleh si anak di dalam kandungan? Sejauh mana kebenarannya? Dan apa yang harus saya lakukan agar dikurniakan cahaya mata yang cerdik, cantik dan berakhlak mulia?
1. Didikan Di Alam Rahim
Para pakar perubatan sependapat bahawa anak-anak boleh dididik menjadi cerdik dan berakhlak mulia sejak ia berada di alam rahim lagi. Apabila janin meningkat usia empat bulan, si ibu mestilah mengawasi setiap tindak tanduknya kerana pada tempoh tersebut Allah SWT telah meniupkan roh ke atas janin yang dikandunginya. Pada waktu inilah janin sudah boleh mendengar dan mengamati suasana persekitaran yang berlaku.

Dalam usaha melahirkan anak yang patuh mendengar kata ibu dan ayah, si ibu perlulah menunjukkan contoh yang baik ini sejak dari awal lagi. Patuh mentaati perintah Allah swt dan taat pada suami dan Insya-Allah, anak yang lahir nanti akan turut mewarisi sifat tersebut.

2. Jaga Tingkah Laku
Ketika hamil emosi si ibu memang tidak stabil dan mudah marah. Namun si ibu perlu bijak mengawal emosi dengan menjaga tutur kata dan tingkah laku agar tidak menunjukkan akhlak yang buruk. Anak di dalam kandungan sentiasa mendengar suara persekitarannya. Jadi, tuturkan dan dengarkanlah perkara-perkara kebaikan sepanjang kehamilan anda. Tujuannya, agar si anak dapat mendengarinya sekali gus mewarisi sifat-sifat kebaikan itu.

3. Beribadah
Apabila si ibu dan ayah rajin beribadah, insya-Allah si anak juga akan mewarisi sifat itu. Si anak yang dilahirkan dalam suasana tetap beribadah akan menunjukkan kesungguhannya untuk bersembahyang dan sensitif dengan kalimah Tuhan apabila usianya menginjak dua tahun. Malah ada yang sudah pandai mengucapkan kalimah memuji Allah swt dalam usia semuda itu.

4. Komunikasi
Selain solat, ibu hamil juga disarankan untuk mengucapkan kalimah-kalimah yang baik. Berbisiklah pada bayi di dalam kandungan dengan kalimah-kalimah suci memuji Tuhan. Yakinlah si anak mendengar dan mendoakan yang terbaik buat ibunya.

5. Membaca Al-Quran
Banyakkan membaca Al-Quran, bertahlil, berzanji, marhaban, berzikir, berselawat, berdoa dan amalan sunat yang lain agar zuriat yang lahir menjadi anak yang soleh dan solehah.

Surah Amalan Terbaik Ketika Mengandung
Ketika hamil, para ibu digalakkan membaca surah-surah dalam Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan harian. Antara surah-surah yang digalakkan untuk diamalkan sepanjang tempoh kehamilan ialah :
1. Surah Al-Fatihah
2. Surah Ayatul Kursi
3. Surah Yaasin
4. Surah Yusuf
5. Surah Maryam
6. Surah Luqman

Ibu Sihat, Anak Cerdas
Selain menjaga tingkah laku dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat, ibu hamil juga digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang sihat sepanjang tempoh kehamilan. Antaranya :

Telur – Kaya protein. Ikan Salmon – Kaya sumber Omega-3 Kekacang – Tinggi serat dan protein. Keledek – Sumber vitamin A, C, folat dan serat. Bertih jagung atau sebarang biji-bijian – Tinggi nutrien dan serat, vitamin E, selenium serta phytonutrient. Kacang walnuts – Kaya sumber Omega-3 (sebagai pengganti bagi yang tidak menggemari ikan atau telur. Yogurt – Sumber kalsium. Sayuran Berdaun Hijau – Kaya dengan sumber vitamin serta nutrien termasuklah vitamin A, C, K dan folat.