✿Sahabatku✿

Follow

Thursday, February 14, 2013

Rezeki Kurniaan Allah SWT


rehlah
Kita selalu beranggapan rezeki itu wang ringgit. Pada hal sebenarnya wang ringgit hanyalah secubit daripada limpahan rezeki kurniaan Ilahi buat hambanya. Marilah terangkan pada anak makna sebenar rezeki agar mereka tidak tersalah tanggap tentangnya.
“Mama, kenapa Atuk Man tu masih miskin walaupun dia baik, suka tolong orang, Danish nampak dia rajin sembahyang dan doa minta murah rezeki. Allah tak sayang kat dia ke mama?” tanya Danish, 5 tahun pada ibunya, Fairuz.

“Bukan macam tulah Danish. Rezeki ni luas maknanya. Bukan duit semata-mata. Tak sakit dan rasa tenang pun rezeki,” terang Fairuz.

Sebagai ibu bapa, kita bertanggung jawab memberitahu anak apa yang sebenarnya dimaksudkan tentang rezeki. Setelah faham erti rezeki (yang nyatanya bukan wang semata-mata), barulah mereka mampu mensyukuri segala nikmat yang dititipkan oleh Allah SWT. Sebaiknya, beri contoh yang ada di sekeliling atau yang dekat agar mereka senang faham.

Misalnya tentang wang ringgit yang Allah SWT beri pada orang kaya. Pada zahirnya mereka memang nampak senang dan banyak duit tetapi sebenarnya sama sahaja dengan orang berpendapatan sederhana. Dalam kehidupan seharian, banyak benda yang perlu dibayar. Sama ada orang kaya ataupun berpendapatan sederhana, mereka perlu membayar ansuran kereta, ansuran rumah, bil elektrik, bil air, minyak kereta, bil telefon dan banyak lagi. Cuma yang membezakannya ialah jumlah wang yang dikeluarkan itu untuk membayar itu. Hal ini kerana orang kaya walaupun banyak duit, kena bayar ansuran kereta mewah tetapi orang yang berpendapatan sederhana hanya perlu membayar ansuran kereta buatan tempatan yang jauh lebih murah. Begitu juga dengan bil elektrik, rumah orang kaya biasanya besar, maknanya kuantiti elektrik yang mereka digunakan juga banyak berbanding kos elektrik apartmen ataupun rumah teres setingkat bersaiz sederhana.

Untuk menceritakan konsep sebenar rezeki kepada anak, ada baiknya kita buat perbandingan menggunakan dua keluarga yang sama jumlah ahli keluarga dan pendapatan agar mereka lebih jelas. Contohnya keluarga Ahmad dan keluarga Ali. Masing-masing bekerja di tempat yang sama dengan gaji yang sama, tetapi kenapa keluarga Ahmad nampak lebih ‘senang’ berbanding keluarga Ali.

Di sinilah konsep sebenar rezeki muncul. Ceritakan serba sedikit tentang keluarga Ahmad. Mereka jarang sakit, selalu makan bersama-sama di rumah, membeli hanya barang yang perlu, rajin bercucuk tanam, ikut perintah Allah dan tinggalkan yang dilarang. Manakala keluarga Ali sering tidak sihat kerana En. Ali kuat merokok, kerap berkunjung ke restoran makanan segera, suka membazir dan sering bertelagah serta menyalahkan antara satu sama lain.

Perbezaan kesenangan hidup yang dinikmati oleh kedua buah keluarga inilah yang perlu dilihat dan dikaitkan dengan konsep rezeki. Walaupun wang ringgit yang diperoleh sama tetapi cara dibelanjakan jelas berbeza. Di sini juga letaknya keberkatan duit yang diterima. Banyak atau tidak bukan perkara utama tetapi nilai sebenar yang terkandung dalamnya. Misalnya, RM10 jika digunakan untuk membeli makanan seisi keluarga jauh lebih baik dan berkat daripada digunakan untuk membeli rokok yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan malah salah di sisi agama.

Tanya pada anak, antara kedua-dua keluarga ini, mana satu yang menjadi pilihannya? Beritahu anak, Allah SWT menjanjikan rezeki bagi orang Islam melalui amal solehnya. Yang pentingnya mestilah yakin dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Jangan lupa beritahu juga pada anak, banyak mana pun rezeki yang Allah beri, kita mestilah bersyukur.

“ Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” surah Ibrahim ayat 7.
Pun begitu, bersyukur bukan sekadar ucapan Alhamdulillah tetapi dengan perbuatan. Mentaati segala yang diperintah dan meninggalkan yang ditegah.

Istidraj
Istidraj adalah pemberian Allah SWT kepada hambanya atas apa yang diingininya di dunia agar bertambah sesat, bodoh dan durhaka. Setiap hari dia semakin jauh dari Allah SWT. Istidraj merupakan kelebihan atau keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia dalam pelbagai bentuk seperti dikehendaki-Nya. Bagaimanapun anugerah itu bukan disebabkan Allah menyayangi mereka tetapi tanda kebencian Allah. Dengan kata lain, Allah menginginkan mereka menjadi lebih sesat melalui kelebihannya itu dan akhirnya kaum tersebut termasuk ke dalam golongan yang tidak mendapat hidayah-Nya. Daripada Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Apabila kamu melihat Allah memberi seorang hamba apa yang diinginkannya, padahal hamba itu selalu berbuat maksiat, maka sesungguhnya itu adalah istidraj dari Allah untuknya”. (HR. Ahmad dan Thabrani, dalam kitab as-Syu’ab).

Info berguna untuk tambah rezeki :
♦ Luangkan beberapa minit waktu pagi untuk sembahyang Dhuha.
♦ Rajin-rajinlah bersedekah.
♦ Bertaubatlah atas segala kesalahan lalu dan perlu banyak beristighfar.
♦ Ingat Allah SWT sentiasa.
♦ Bertawakallah selepas berusaha bersungguh-sungguh.
♦ Berdakwah dan berjihad ke jalan Allah
Share:

1 comment:

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧