✿Sahabatku✿

Follow

Tuesday, March 26, 2013

Anak Kemaruk Televisyen & Gajet


tv
Setujukah anda sekiranya dikatakan kebanyakan ibu bapa masa kini gemar menyerahkan urusan ‘penjagaan’ anak kecil mereka kepada televisyen atau komputer tablet. Ia bagaikan memberi magis kepada papa dan mama dalam usaha memujuk anak-anak yang meragam.
Gajet tersebut mampu membuatkan si manja duduk diam dan tidak mengganggu urusan ibu bapa sama ada ketika di rumah atau di luar rumah. Selain daripada itu alasan mendidik anak-anak menggunakan medium teknologi tersebut turut menjadi faktor utama.
Namun, benarkah gajet boleh mendidik anak-anak? Apakah kesannya sekiranya anak kecil yang masih memerlukan bimbingan dibiarkan menonton televisyen sehingga lewat malam ataupun bermain permainan komputer tanpa batasan.
Malahan ada ibu bapa yang berasa bangga dengan kebolehan si anak membuat carian di youtube tanpa pantauan mereka. Kononnya anak yang masih berusia bawah enam tahun itu sudah terlalu bijak!
Hakikatnya mereka tidak perasan ada kesan buruk di sebalik ‘pencapaian’ tersebut. Bayangkan jika si kecil terjumpa gambar atau video yang tidak sepatutnya dalam carian mereka. Boleh pengsan ibu bapa dibuatnya.
Sebenarnya tiada bukti saintifik boleh menyokong pendapat mengatakan kononnya menonton rancangan kartun atau bermain permainan video mampu membantu perkembangan minda anak-anak.
Mungkin ada program yang ditonton dapat memberi kesan positif tetapi biasanya kanak-kanak tidak gemar menonton program sedemikian. Justeru, sebenarnya lebih banyak keburukan daripada kebaikan
Televisyen atau komputer tablet adalah komunikasi satu hala. Walaupun mungkin ada perkataan baru yang dipelajari namun ia tidak sama dengan ‘bercakap’ dan berkomunikasi. Anak-anak yang membesar memerlukan kehadiran ‘orang’, berkomunikasi dengan ‘orang’ bukan imej di kaca televisyen dan komputer tablet.
Kesan buruk
Bukan bermakna papa dan mama langsung tidak boleh mendedahkan teknologi gajet kepada anak-anak tetapi janganlah sampai melampau. Apa pun yang kita beri kepada anak-anak perlu ada batasan dan kawalan.
Membiarkan anak-anak kecil terdedah kepada televisyen terlalu lama boleh menjadikan mereka tidak keruan. Emosi mereka turun naik akibat menonton sesuatu cerita. Jika tidak diberi rehat dengan aktviti bermain yang aktif, boleh menyebabkan mereka menjadi lembab, malas atau perangai tidak keruan.
Jika kita perhatikan keadaan anak-anak yang sedang menonton televisyen atau komputer tablet, posisi mereka seperti anak patung yang tidak bergerak-gerak. Mereka tekun dan fokus dengan apa yang ditonton atau dimainkan.
Sebenarnya ia bukan menjadikan mereka seorang yang fokus sebaliknya mengurangkan daya konsentrasi akibat gambar yang sering bertukar setiap beberapa saat. Cuba suruh mereka berhenti daripada menonton, kita akan mendapati kanak-kanak ini hilang fokus dan tidak boleh duduk diam.
Jika disuruh membaca, mereka berupaya untuk bertahan seketika sahaja. Ia menyukarkan mereka menumpukan perhatian kepada sesuatu pembelajaran.
Selain daripada itu televisyen turut menyekat kanak-kanak menggunakan ‘otak’ mereka untuk berimaginasi. Ini amat  berbeza dengan aktiviti membaca buku. Tatkala membaca, imaginasi mereka melayang jauh dan selama mana yang mungkin- tiada had tertentu, dan inilah yang kita mahukan.
Ini kerana kanak-kanak dan ada daya berimaginasi tinggi akan merangsang perkembangan minda mereka lebih positif dan kreatif. Malah ada kajian menunjukan bahawa terlalu banyak menonton televisyen menyebabkan prestasi akademik anak-anak merosot. Maka disarankan lebih baik papa dan mama menghabiskan masa berbual dan bermain dengan anak-anak daripada membiarkan mereka menonton televisyen ataupun bermain tablet.
Cara kawal
Membiarkan si kecil menonton drama-drama yang kadang kala mempunyai mesej tidak baik boleh mempengaruhi mereka dan kemudiannya meniru aksi tersebut. Oleh itu ibu bapa perlu ambil masa dan meninjau serta memantau lalu memastikan rancangan mana yang menimbulkan kesan baik dan yang mana tidak kepada anak-anak.
Bagaimanapun tidak semestinya rancangan itu baik, kita biarkan anak-anak kecil menontonnya terlalu lama kerana akibat lain mungkin timbul pula, misalnya kesan buruk kepada mata.
Bagaimana cara menangani masalah anak suka menonton televisyen atau tablet?
·         Disiplinkan anak-anak etika menonton televisyen atau bermain tablet.
·         Pilih program yang beri kesan positif kepada anak-anak sahaja.
·         Lakukan jadual dan pastikan dia mengikut jadual itu. Ada masa bermain aktif, ada masa melukis, ada masa bercerita dan membaca buku, ada masa menonton televisyen atau bermain komputer.
·         Selepas menonton wujudkan masa untuk dia bercerita apa yang dia tontoni agar membantu perkembangannya. Misalnya dengan menonton program pendidikan, anak dapat kaitkan dengan kehidupan seharian. Bukankah ia satu pembelajaran!
Kesimpulannya, bukan semuanya buruk dan bukan semuanya baik. Televisyen atau komputer adalah alat yang menjadi berfaedah jika kita bijak menggunakannya.

Share:

0 lovely notes:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧