Kenali Homeschooling

Tuesday, March 05, 2013


Assalamualaikum wbt..
Umumnya, homeschooling (HS) bermaksud belajar dari rumah. Anak-anak HS tidak mendapatkan pendidikan formal di sekolah sepanjang tempoh pembelajaran mereka. Biasanya, ibu bapalah guru mereka. Ibu bapa ini memilih untuk mendidik anak mereka dengan cara sendiri tanpa campur tangan guru profesional di sekolah. Walau bagaimanapun, ada juga sesetengah ibu bapa mengupah guru-guru khas untuk mengajar anak mereka. 

Pada prinsipnya, HS merupakan pendidikan alternatif yang lebih fleksibel dan menyeronokkan kerana suasana pembelajarannya tidak formal. HS lazimnya diadakan di rumah. Rumah dan segala isinya merupakan media pembelajaran. Namun, ini tidaklah bermakna mereka hanya belajar di rumah. Kanak-kanak sebenarnya HS belajar di mana-mana sahaja. Tanpa disedari HS juga memberi peluang untuk memupuk jalinan kasih sayang antara ibu bapa dengan anak-anak melalui setiap aktiviti yang dilakukan bersama. 

HS boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu: 

HS tunggal 
HS ini dilaksanakan oleh ibu bapa sendiri tanpa bantuan orang luar. Mungkin kerana lokasi kediaman mereka berjauhan dengan orang lain. 

HS majmuk 
Pendidikan mereka biasanya menggabungkan dua atau lebih keluarga terutamanya untuk aktiviti-aktiviti tertentu. 

Komuniti HS 
Pengamal HS bergabung untuk menyusun sukatan pelajaran, bahan untuk mengajar, kemudahan dan jadual pembelajaran. 

Bagaimana HS berfungsi? 
Bagi mereka-mereka yang langsung tidak tahu tentang HS tentu tertanya-tanya, bagaimanakah seseorang kanak-kanak itu boleh belajar dan pandai tanpa dididik oleh guru bertauliah atau profesional? Inilah yang menariknya tentang pendidikan. Ketahuilah bahawa pendidikan boleh datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Misalnya jika anda tidak tahu tentang sesuatu perkara dan cuba mencari jawapannya di dalam buku atau internet lalu mempelajari tentangnya. Tanpa disedari dan secara tidak langsung, anda telah melibatkan diri dalam HS. Keadaan ini ada kalanya dikenali sebagai pendidikan berdasarkan minat dan motivasi diri sendiri. Inilah juga yang berlaku dalam HS. Kanak-kanak diajar dengan cara tersendiri iaitu berdasarkan minat mereka terhadap sesuai bidang dan terus mendalaminya dengan cara yang diingini. HS berbeza antara keluarga. Ada keluarga mendidik anak-anak berdasarkan minat mereka terhadap sesuatu topik atau perkara. Ibu bapa akan membantu anak mendalami bidang tersebut sehingga mereka benar-benar mahir tentangnya. Dalam apa juga minat seseorang kanak-kanak itu, masih ada ruang untuk mereka belajar pelbagai perkara seperti belajar matematik, sains, sejarah dan geografi. Kesemua ini semuanya digarap menjadi satu. Akhirnya apa yang kanak-kanak HS belajar sama seperti yang diterima oleh kanak-kanak di sekolah formal. Cuma caranya sahaja yang berbeza. Ada juga keluarga yang mendidik anak-anak mereka dengan menggunakan sukatan pelajaran pendidikan formal yang ada di sekolah. Ibu bapa ini menggunakan buku-buku yang sama digunakan di sekolah tetapi mengajar anak dengan cara sendiri. Yang membezakan ialah pembelajaran tersebut berlaku di rumah dan bukan sekolah formal. 

Anda perlu tahu : 

Pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib (Home schooling

PENYATAAN DASAR 
Home Schooling adalah merupakan satu kaedah persekolahan di rumah yang diberikan kepada ibu bapa yang memerlukannya seperti mempunyai masalah kesihatan kronik dan memerlukan jagaan rapi oleh pihak penjaga. Namun demikian ianya hanyalah satu keistimewaan dan bukannya hak. Persekolahan biasa adalah diutamakan kepada kanak-kanak kerana ianya merupakan satu cara untuk kanak-kanak dapat berinteraksi di antara satu sama lain. 

TUJUAN 
  1. Memberi peluang kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah kesihatan yang kronik dan memerlukan penjagaan yang rapi oleh ibu bapa untuk mendapat pendidikan formal di rumah. 
  2. Memastikan tidak berlaku keciciran kepada kanak-kanak untuk memperoleh pendidikan wajib seperti dalam Akta Pendidikan 1996. 
  3. Mendidik ibu bapa supaya menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyekolahkan anak. 


PELAKSANAAN DASAR 
  • Akta Pendidikan (Pindaan) 2002: Subseksyen 29A (2) Akta Pendidikan (Pindaan) 2002 memperuntukkan Menteri boleh, “Jika difikirkan wajar dan demi kepentingan murid atau awam untuk berbuat demikian”, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan mana-mana murid atau mana-mana golongan murid yang dikehendaki supaya mengikuti pendidikan wajib, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya dan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau membatalkan atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu. 
  • Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002 : Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 bertarikh 27 November 2002. 
  • Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah Tahun 2003. 

KAEDAH PELAKSANAAN 
  1. Permohonan Home Schooling boleh dibuat di mana-mana Jabatan Pelajaran Negeri di seluruh negara menggunakan borang yang telah disediakan. Permohonan ini akan dihantar ke Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran oleh Jabatan Pelajaran Negeri yang berkaitan untuk diproses dan diberikan kelulusan khas. Setakat ini hanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan memerlukan jagaan rapi oleh pihak penjaga adalah diutamakan untuk tujuan kelulusan. Semua syarat-syarat untuk tujuan permohonan ini ada dinyatakan di dalam borang yang boleh didapati secara percuma di semua Jabatan Pelajaran Negeri di seluruh negara. 
  2. Kes permohonan pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib dan menjalankan persekolahan di rumah (Home Schooling) dirujuk kepada KPPM untuk mendapat ulasan dan kemudiannya diangkat kepada YB Menteri Pendidikan untuk mendapatkan keputusan. 
  3. Secara amnya syarat tersebut adalah seperti berikut- 
  • Pemohon hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia 
  • Pemohon mestilah memiliki kelulusan ikthisas perguruan 
  • Salah seorang ibu bapa mestilah berkesanggupan untuk menjadi pengajar kepada kanak-kanak tersebut secara sepenuh masa di rumah 
  • Adalah diwajibkan untuk menggunakan kurikulum kebangsaan 
  • Berkemampuan untuk menyediakan prasrana pendidikan yang kondusif dan sempurna untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran 
  • Lawatan ke rumah pemohon akan dibuat untuk tujuan lawatan tapak kesesuaian prasarana pendidikan oleh pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia , Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah 
  • Pemohon membenarkan Pegawai daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk melawat rumah pada bila-bila masa hari persekolahan untuk tujuan pemantauan proses Pengajaran & Pembelajaran tanpa prasangka. 
  • Kanak-kanak yang menjalankan Home Schooling tidak dibenarkan sama sekali untuk menghadiri mana-mana persekolahan secara tuisyen harian sama ada swasta atau kerajaan 
  • Sekiranya didapati pemohon melanggar syarat-syarat yang terkandung dalam kelulusan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia maka pihak Kementerian Pelajaran Malaysia berhak untuk membatalkan kelulusan tersebut dengan serta merta dan kanak-kanak tersebut hendaklah didaftarkan semula ke sekolah biasa dengan segera 

5. TARIKH KUATKUASA 
Kertas “Kriteria Pengecualian Daripada Mengikuti Pendidikan Wajib Di Peringkat Rendah” telah diluluskan oleh YB Menteri Pendidikan pada 28 Jun 2003 dan tugas memproses permohonan pengecualian telah dilaksanakan mulai daripada tarikh tersebut.

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧