✿Sahabatku✿

Follow

Saturday, March 02, 2013

Rumah Tangga Didasari Iman Beri Kebahagiaan

Tanggungjawab Suami dan Isteri 
TERPENGARUH DENGAN SOGOKAN DRAMA DAN FILEM BARAT DENGAN KATA-KATA, “... AND THEY LIVE HAPPILY EVER AFTER...”, PERKAHWINAN SERING KALI DITAFSIRKAN SEBAGAI TERCAPAINYA KEBAHAGIAAN BUAT SELAMANYA. IA BAGAIKAN SEBUAH IMPIAN YANG MENJADI KENYATAAN KERANA CINTA MEREKA DISATUKAN DENGAN IKATAN. RAMAI PASANGAN YANG MEMIKIRKAN IA ADALAH KEBAHAGIAAN ABADI DAN ‘HAPPY ENDING’ BUAT SEBUAH KEHIDUPAN. HAKIKATNYA, SELEPAS SELESAI DIIJABKABULKAN DI SINILAH BERMULANYA CABARAN DALAM MELAYARI BAHTERA PERKAHWINAN. 
  
Tanggungjawab Suami dan Isteri

 
Ketahuilah perkahwinan itu sendiri mengambil masa untuk proses penyesuaian lelaki dan wanita. Selagi tidak tinggal sebumbung jangan sesekali menganggap kita  sudah cukup mengenali dirinya. Di samping itu terdapat juga penyesuaian lain yang perlu difi kirkan seperti bagaimana menjaga sensitiviti pasangan masing-masing,  menjaga dan melayani hati mertua dan ahli keluarganya iaitu keluarga baru dalam kehidupan anda serta seribu macam lagi penyesuaian yang perlu diberi perhatian. Ia menuntut kebijaksanaan anda dalam membuat tindakan. 
 
Kebahagiaan rumah tangga perlu dipupuk dan semuanya terletak di bahu anda yang bergelar ‘suami dan  isteri.’ Sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan pastinya setiap wanita mengimpikan untuk mendapat suami yang beriman. Begitu juga di pihak suami yang  mahukan isteri yang baik, taat dan mampu menguruskan rumah tangga. Siapa yang tidak mahukan keluarga dan perkahwinan yang bahagia, tetapi tahukah anda  rumah tangga bahagia tidak boleh wujud hanya dengan sekadar kata-kata. Ia memerlukan kesabaran, usaha dan yang paling utama pengorbanan. Rumah tangga itu perlu didasari dengan iman dan taqwa. Kesungguhan suami isteri membentuk keluarga yang bahagia memerlukan ilmu bukan setakat teori tetapi yang lebih penting adalah amalan praktikalnya dalam rumah tangga. Realitinya iman  dan tanggungjawab itu memainkan peranan penting dalam rumah tangga. Ia adalah peranan untuk kedua pihak suami isteri  baharulah ia selari dengan pengertian kahwin itu adalah perkongsian hidup. 
 
Berkongsi kasih sayang, tanggungjawab, kesetiaan dan seribu macam lagi perkara  berkaitan dengan hubungan kedua insan bernama suami isteri ini. Jangan hanya mencari kelemahan pasangan di mana daripada segi teorinya kita hanya mahukan  pasangan kita sempurna sedangkan diri sendiri banyak kelemahannya. Menyentuh bab imam cuba hayati contoh situasi ini. Jika suami leka menonton tv sehingga  lambat solat ,isteri wajib beri peringatan. Begitu jugalah jika isteri terleka menunaikan suruhan Allah. 
 
Lakukan dengan penuh diplomasi dan niatnya hanya kerana  Allah. Jangan sesekali gentar atau takut untuk saling memperingati khususnya buat kaum wanita yang ingin menyedarkan kelalaian suami. Suami yang sedar pastikan ‘berterima kasih’ kerana menyedarkan kelalaiannya itu . Bagaimanapun bagi suami sebagai ketua keluarga ingatilah pesanan Rasulullah yang bersabda:
"Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah  yang ada disampingmu, barangsiapa tidak  memerintahkan agar isterinya mengerjakan solat, dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkianat kepada Allah dan Rasul-Nya.” 
 
MENGEMUDI BAHTERA
 
Kurangnya persediaan untuk menjadi pasangan yang bertanggungjawab menjadi punca utama sesebuah keluarga itu terjebak dengan masalah dan konflik rumah tangga. Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga adalah perkara terbaik  jika anda melengkapkan diri dengan asas-asas perkahwinan yang mantap. Fahamilah tujuan perkahwinan untuk ibadat dan memenuhi tuntutan agama. Ia juga adalah komitmen terhadap pasangan memenuhi keperluan biologi dan mendapatkan zuriat yang sah serta mengelakkan daripada maksiat. Dua persediaan yang perlu diberi perhatian ialah persediaan minda dan kerohanian dan yang  keduanya adalah persediaan fizikal. 
 
A. PERSEDIAAN MINDA DAN KEROHANIAN
 
Pasangan yang ingin berkahwin perlu bersedia secara minda untuk melalui dan juga memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri, kematangan adalah satu  keperluan. Banyakkan membaca dan berkongsi pengalaman dengan mereka yang telah lama makan asam garam kehidupan rumah tangga dan petua dan cara  mereka mengatasi masalah.Kursus perkahwinan yang anda lalui secara ekspres itu belum cukup menjadi bekalan ilmu untuk diamalkan. Anda juga perlu belajar kemahiran dan mempunyai pengetahuan dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga. Soal hukum hakam dan ilmu agama amat penting sekali. Begitu juga dengan kemahiran berkomunikasi dan menguruskan sumber iaitu masa, wang dan rumah tangga. Tiga perkara asas yang perlu diberi perhatian ialah : 
 
a. Bersedia untuk berumah tangga
b. Bersedia memikul tanggungjawab
c. Berkemahiran berkeluarga.
 
B. PERSEDIAAN FIZIKAL.
 
Ya, ia mungkin nampak remeh tetapi bakal pasangan perlulah menjaga kesihatan mereka.,kesihatan yang baik akan memberikan kemampuan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih sempurna. Juga kemampuan daripada segi seksual, ia amat penting dalam menjamin kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Ia juga  faktor utama bagi kelangsungan zuriat anda. Bagi wanita pula umur 20 hingga 30 tahun adalah umur yang sesesuai untuk menjadi ibu. Daripada sudut ekonomi pula  suami isteri boleh sahaja bantu membantu  dan berkongsi wang untuk memantapkan ekonomi keluarga asalkan sahaja suami tidak meletakkan tanggungjawab itu  sebagai satu bebanan dan kemestian yang wajib ditanggung oleh pihak isteri. 


Share:

0 lovely notes:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧