✿Sahabatku✿

Follow

Friday, February 27, 2015

Info menarik tentang membaca


Image result for assalamualaikum 
Membaca atau Iqra'...Memang tak dinafikan tentang hobi nie, tapi kesedaran membaca masih lagi kurang di kalangan masyarakat kita.. Walaupun kerajaan dah banyak buat macam-macam cara untuk menyedarkan kita tentang membaca tapi ianya masih tak mencukupi... Apa sebabnya? 

Mengapa kita kurang membaca?
 Itu adalah antara persoalan yang sering ditimbulkan ketika melihat senario di kalangan masyarakat kita apabila menyentuh tentang budaya membaca. Adalah penting bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang sukakan membaca dan menjadikan amalan itu sebagai satu budaya agar tidak ketinggalan dalam perlumbaan teknologi yang semakin sengit.

Pembangunan Negara

 Pembangunan sesebuah negara adalah bergantung kepada rakyatnya yang berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing. Ilmu pengetahuan dapat diperoleh melalui amalan membaca.  Amalan membaca pula perlu diperlengkapkan dengan kemahiran memilih bahan bacaan yang berkualiti. Institusi keluarga berperanan untuk melahirkan individu yang bukan sahaja gemar membaca tetapi menjadikan membaca sebagai budaya. 

Usaha membudayakan aktiviti membaca di kalangan generasi muda merupakan titik tolak dalam membentuk masyarakat berpengetahuan yang dapat menyumbang kemahiran dan kepakaran kepada pembangunan sesebuah negara.


Melestarikan Budaya Membaca 
Institusi keluarga pada asasnya sama-sama bertanggungjawab untuk membentuk, menyemai, dan memupuk minat membaca di kalangan ahli keluarga dan seterusnya melestarikan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Peranan ini perlu bagi memenuhi perkembangan mental kanak-kanak  dalam usaha bagi memenuhi keperluan,  cita rasa,  aspirasi, karenah dan sikap ingin tahu yang hanya dapat dipenuhi melalui membaca.

Peranan Perpustakaan Negara Malaysia

 Tidak keterlaluan dikatakan bahawa purata dua buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia setahun merupakan nombor yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Angka itu masih boleh dipersoalkan walaupun negara telah menyaksikan bahawa penambahan mendadak jumlah pengunjung ke kedai-kedai buku dan pesta buku antarabangsa. Penganjuran pesta itu dikatakan telah mencapai matlamat apabila menerima kunjungan lebih 1 juta pengunjung. 

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menggariskan empat strategi untuk mencapai matlamat minat membaca di kalangan orang ramai. Di antaranya:


Pertama, PNM akan bekerjasama dengan jentera kerajaan di peringkat negeri dan daerah. Manakala kerjasama dengan sektor swasta bersifat bantuan kewangan seperti penajaan, pembiayaan dan sumbangan dalam aktiviti yang diadakan.


Kedua, PNM akan membina lebih banyak perpustakaan desa, memperbanyakkan sudut bacaan di tempat tumpuan umum. Misalnya di kompleks membeli belah dan perhentian bas supaya orang ramai boleh mengisi masa terluang dengan membaca buku yang disediakan.


Ketiga, bagi memenuhi keperluan golongan kanak-kanak dan remaja yang lebih cenderung dengan perkhidmatan atas talian, PNM akan memantapkan aplikasi ICT dalam perkhidmatannya. Pendekatan konsep siber ini diharap dapat menarik minat golongan itu untuk mendampingi perpustakaan dan seterusnya menyuburkan budaya membaca dalam kalangan mereka.


Keempat, memanfaatkan pertubuhan sukarela yang sedia ada bagi menggerakkan program mari membaca.  Sehubungan  itu program membaca boleh dilaksanakan secara tersusun, sistematik dan berterusan.


Kesimpulan 

Pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan masyarakat membaca. Untuk membudayakan amalan membaca , semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian.

Sumber Rujukan : Perpustakaan Negara Malaysia   
Utusan Malaysia – 5/11/2009
Share:

0 lovely notes:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧