Sunday, September 11, 2011

Mukjizat Rasulullah SAW - Membelah Bulan

Hari ini aku mahu menceritakan tentang kisah mukjizat Nabi Muhammad SAW... Rasulullah SAW pernah membelah bulan suatu ketika dahulu...


Rasulullah Membelah Bulan?
Gambar rekahan pada bulan dirakam oleh NASA. Bukti bulan pernah terbelah.


Hasad dengki dalam hati kaum Quraisy tidak pernah terpadam walau seinci. Semahu mungkin mereka cuba membuktikan kepada masyarakat Quraisy, Muhammad adalah seorang penipu apabila mendakwa dirinya sebagai utusan Allah. Lalu timbul pelbagai 'tuntutan' mengarut semata-mata untuk menunjukkan dakwaaan mereka selama ini benar dan tepat belaka. Dalam hati mereka mengharapkan Muhammad tidak dapat memenuhi segala tuntutan tersebut. Lantas terserlah kebohongan Muhammad dan terhenti urusan dakwah Muhammad kepada kaum Quraisy.


Justeru, pada hari yang ditetapkan, berkumpul orang-orang kafir Quraisy Mekah bersama tokoh-tokoh yang ternama seperti Abu Jahal, Walid Bin Mughirah dan Al-'Ash Bin Qail. Tujuan mereka untuk mendapatkan kepastian dan kebenaran tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW. Atas tujuan itu, mereka meminta Nabi Muhammad SAW membelah bulan bagi membuktikan kerasulan baginda." Sekiranya kamu benar-benar seorang nabi maka belahlah bulan menjadi dua, " kata mereka dengan nada yang sinis lalu disambut dengan gelak ketawa yang cukup menghina. Pada anggapan mereka Muhammad tidak akan mampu untuk melakukannya. " Apakah kalian mahu memeluk Islam sekiranya aku dapat berbuat demikian? " kata baginda setelah dirinya cuba dipersenda-sendakan oleh kaumnya sendiri. Mendengar akan kesungguhan Muhammad itu, mereka kemudian menjawab ' ya ' dengan penuh keyakinan. Rasulullah SAW terus menadah tangan meminta pertolongan daripada Allah SWT.

Seterusnya baginda mengangkat tangan ke arah bulan sebagai isyarat. Dengan tidak semena-mena bulan kelihatan merekah dan terbelah menjadi dua. Bukit Hira yang pada mulanya terlindung di sebalik bulan, mula kelihatan berada pada kedudukan antara dua bahagian bulan. Terloponglah mulut masing-masing melihat keajaiban yang ada pada diri Muhammad. Terkedu dengan kejadian yang berlaku di depan mata, apatah lagi di hadapan kebanyakan kaum Quraisy yang ketika itu tercari-cari kebenaran kata-kata Muhammad sebagai pengutus Allah, pemimpin-pemimpin Quraisy yang berlagak sombong itu akhirnya memandang sesama sendiri. Sama sekali mereka tidak pernah terfikir, cabarannya yang cuba menjatuhkan kredibiliti Muhammad di khalayak ramai akhirnya terkena batang hidung sendiri. Malu, marah, benci dan tercabar semuanya bersatu dalam jiwa mereka. Masing-Masing terdiam kerana jerat yang dipasang tidak menjadi.  

Timbul kebimbangan di hati mereka apakah mungkin selepas menyaksikan kejadian tersebut, lebih ramai kaum Quraisy memperakui kerasulan Muhammad. Melihat akan keadaan yang menjadi semakin tidak menentu, maka helah baru dibuat. "Ini adalah sihir, kita telah disihir olehnya!" kata pemimpin-pemimpin Quraisy cuba menidakkan kebenaran Rasulullah. Segala janji mereka sebelum ini untuk memperakui Muhammad sebagai Nabi dan Rasul diingkari. Pelbagai alasan diberikan termasuk menunggu kedatangan kabilah dari Syam yang sedang dalam perjalanan pulang ke Mekah. Hanya satu harapan mereka, jawapan yang diterima mengharapkan kabilah berkenaan akan mengatakan mereka tidak nampak bulan terbelah dua. Dengan jawapan itu, mereka mengharapkan kepercayaan masyarakat Quraisy terhadap pemimpin-pemimpin Quraisy yang menentang Muhammad kembali utuh.


MEMCARI HELAH
Namun, kewibawaan mereka sekali lagi tercabar. Jawapan yang diterima sebaik kabilah berkenaan sampai di kota Mekah, benar-benar membuatkan mereka tersentap. "Kami bersaksi bahawa kami turut melihat bulan terbelah menjadi dua ketika dalam perjalanan." Berderau darah mereka sebaik mendengar pengakuan tersebut. Apa lagi helah yang mahu mereka lakukan. Ibarat satu tamparan kuat yang singgah di pipi, mereka masih tetap dengan pendirian mereka untuk menidakkan kerasulan Muhammad. Sakit di hati mereka terus menggunung. Kejadian baru yang disaksikan di hadapan mata, cuba ditolak mentah-mentah. Puncak keegoan mereka terus meluap sekalipun kebenaran berada di hadapan mata.


Muhammad terus ditohmah. Habis dicanangkan di setiap pelosok kota Mekah, Muhammad telah menggunakan sihir untuk mengabui mata masyarakat. Mereka yakin alasan tersebut mampu menyekat masyarakat Quraisy mempercayai kata-kata Muhammad. Namun Nabi Muhammad tidak pernah berputus asa. Lemparan tuduhan ke atasnya dianggap sebagai satu cabaran buat dirinya. Malah Muhammad akur, urusan hidayah adalah urusan Allah. Letak mahatahari di hadapan mereka sekalipun, kalau Allah tidak memberikan hidayah dan membuka hati mereka untuk memeluk Islam, semua itu tidak akan terjadi. Hati mereka akan terus tertutup sekalipun janji-janji mereka untuk beriman mengakui kerasulan Muhammad telah dibuktikan melalui mukjizat yang Allah berikan kepada Muhammad. Sebaliknya nafsu amarah mereka terus memuncak.


Hal ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran sebagai wahyu, kepada baginda yang bermaksud, "Telah dekat datangnya saat itu (kiamat) dan telah terbelahnya bulan, dan jika mereka (orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat), mereka tetap berpaling (enggan beriman) dan berkata (dengan penuh sinis) : "(ini adalah) sihir yang terus menerus." Dan mereka mendustakan (Nabi) dan mengikuti hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap urusan ada ketetapannya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka beberapa kisah yang didalamnya terdapat cegahan (dari kekafiran). Itulah suatu hikmah yang sempurna, maka peringatan-peringatan itu tidak berguna (bagi mereka). Maka berpalinglah kamu dari neraka." (Al-Qamar 54:1-6)

BUKAN PEMBOHONGAN
Sungguhpun begitu, kisah yang berlaku pada tahun ke-sembilan kenabian Nabi Muhammad SAW ini telah berjaya mengislamkan ketua Al-Hizb Al-Islami Inggeris, Daud Musa Pitcock. Menerusi pengalaman yang diceritakan oleh Daud, sebelum dia memeluk Islam dia banyak mengkaji tentang agama-agama lain. Sehingga pada suatu masa dia menerima senaskhah terjemahan Al-Quran yang diberikan oleh rakan beliau. Kitab tersebut diambil dan dibawa pulang. Sampai di rumah, dia cuba meneliti kandungan terjemahan Al-Quran itu dengan menyelak kitab tersebut. Entah bagaimana, tangannya terus menyelak surah Al-Qamar dan matanya tertumpu pada ayat yang bermaksud, "Telah dekat hari kiamat dan bulan pun terbelah..." . Hal ini membuatkan dia tertanya-tanya apakah ayat ini diterima akal? Apakah bulan boleh terbelah dan bercantum kembali? Dia berhenti membaca terjemahan itu dan membiarkan hari terus berlalu.


Suatu hari Daud menonton sebuah rancangan televisyen, rancangan diskusi tersebut membincangkan tentang matlamat Amerika Syarikat menjalankan penerokaan di angkasa lepas dan kejayaan ahli astronomi menjejakkan kaki di bulan hingga sanggup pertaruhkan wang sejumlah hampir 100 juta dolar sedangkan pada masa itu dunia sedang mengalami masalah ekonomi. Menerusi hujah seorang pakar kajian angkasa lepas, mereka ke bulan bagi menjalankan kajian tentang keadaan dan geografi bulan. Hasilnya mereka melihat suatu kesan yang agak aneh yakni satu garisan yang sangat panjang seperti satu terusan hingga mengakibatkan batu-batu terbelah. Bagi mengenal pasti punca ini mereka membawa ahli geologi untuk menjalankan kajian di bulan. Sesuatu yang amat mengejutkan, hasil kajian yang dilakukan mendapati belahan garisan itu menembusi sehingga ke dalam perut bulan. Menurut pakar geologi hal ini mustahil berlaku kecuali jika sebelum ini bulan pernah terbelah dan bercantum semula. Pernyataan ini telah menyentak hati nurani Daud. Dia bingkas bangun mendapatkan terjemahan Al-Quran yang pernah dibaca. Berkali-kali dia mengulangi ayat tersebut. Seketika, hatinya terasa begitu sayu dan benarlah setiap baris yang terkandung di dalam kitab berkenaan. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menerima Islam sebagai agama anutannya.


Demikian kekuasaan dan kehebatan Allah SWT yang memberikan mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kerasulan baginda. Banyak lagi kisah-kisah tentang mukjizat Rasulullah SAW yang akan saya paparkan untuk meningkatkan lagi keimanan kita pada Yang Maha Kuasa.

No comments:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧