Selain unsur lucah, kanak-kanak juga terdedah risiko penggunaan bahasa kasar atau kesat, komentar bersifat rasis, atau gangguan lain jika ada fungsi chat pada permainan tersebut. Mereka boleh bersembang dengan hampir sesiapa sahaja dari seluruh dunia sambil menunggu giliran, seperti pada permainan Yahoo Pool. Selain itu, walaupun pada permainan tertentu yang dikla-sifikasikan sebagai bersih, terselit juga kandungan yang bersifat komersial.
Perkembangan teknologi Internet cukup pantas. Jika dahulunya kita dihidangkan dengan laman web statik yang membosankan, kini muncul laman interaktif dan menarik seperti MSN MySpace dan Twitter. Selain itu laman seperti Facebook semakin popular terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Mungkin sebelum ini, anda antara kita yang dimanipulasi oleh anak-anak bagi membelikan mereka CD atau DVD permainan komputer atau Playstation. Permainan yang kita belikan mungkin yang tidak sesuai dengan umur mereka dari segi kandungannya. Sebagai ibu bapa kadang-kadang kita terlepas pandang perkara ini. Masalah permainan komputer bertambah parah apabila wujud permainan percuma di Internet. Ia tidak perlu dibeli sebagaimana CD atau DVD.

Serentak dengan kepesatan perkembangan teknologi, wujud juga permainan dalam talian yang mungkin berisiko terutama bagi kanak-kanak. Kajian oleh The ChildWise Monitor Report pada tahun 2008 menunjukkan bahawa permainan video adalah antara aktiviti dalam talian paling digemari kanak-kanak. Buktinya 47 peratus daripada responden kajian dari kalangan kanak-kanak lelaki berusia 7-10 menggunakan Internet untuk bermain permainan video. Malah bagi kanak-kanak kecil, Internet adalah permainan, dan permainan adalah Internet.

Animasi Lucah
Permainan percuma ini sekali imbas seolah-olah direka untuk anak-anak. Ia menggunakan watak beranimasi yang menarik dengan lukisan dan warna yang ceria. Namun di sebalik itu, terdapat satu permainan berasaskan Flash yang misinya adalah untuk menangkap foto watak perempuan seksi. Watak ini agak bergerakgerak pada senario tertentu dalam aksi yang boleh mendatangkan rasa ghairah.

Pemain hanya perlu menangkap gambar yang paling seksi. Lebih seksi gambar yang ditangkap, maka lebih tinggi markah yang diperoleh. Perkara yang mengejutkan ialah berdasarkan maklumat sumber, ia telah dimainkan lebih dari 6.5 juta kali sejak dilancarkan pada bulan Mac 2008. Rajah di bawah menunjukkan paparan permainan tersebut.

Pada permainan dalam talian seperti ini, kanak-kanak sudah tentu suka melihat watak beranimasi yang dilukis dengan cukup kemas. Mereka pasti berminat mencuba permainan ini terutama selepas melihat montaj pembukaannya. Namun bolehkan mereka membezakan baik buruk permainan ini? Selain itu, tiada sekatan yang meminta pengguna memasukkan data berkaitan umur sebelum boleh bermain permainan ini.

Selain unsur lucah, kanak-kanak juga terdedah risiko penggunaan bahasa kasar atau kesat, komentar bersifat rasis, atau gangguan lain jika ada fungsi chat pada permainan tersebut. Mereka boleh bersembang dengan hampir sesiapa sahaja dari seluruh dunia sambil menunggu giliran, seperti pada permainan Yahoo Pool. Selain itu, walaupun pada permainan tertentu yang diklasifikasikan sebagai bersih, terselit juga kandungan yang bersifat komersial.

Kesannya jutaan kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi risiko pengaruh negatif permainan dalam talian jika tiada usaha tegas dilaksanakan. Sebab itu beberapa negara melarang sepenuhnya kandungan dalam talian khas untuk orang dewasa bagi diakses oleh semua peringkat umur. Sementara itu di Amerika Syarikat, ada antara perpustakaan sekolah menerima dana persekutuan bagi usaha menyekat akses kepada kandungan yang tidak sesuai.

Permainan Yang Sesuai
Di United Kingdom pula, satu badan yang dipanggil Majlis Keselamatan Internet bagi Kanak-kanak (UKCCIS) telah ditubuhkan. Ia bermatlamat mewujudkan kerjasama segenap organisasi daripada industri dan NGO untuk bekerjasama dengan kerajaan. Ini bagi memastikan Internet adalah tempat yang selamat bagi kanak-kanak.

Salah satu usaha UKCCIS adalah mewujudkan sistem klasifikasi permainan komputer. Klasifikasi ini bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga menyemak kesesuaian satu-satu permainan bagi kumpulan usia anak mereka.

Dari segi teknikal, anda boleh setkan polisi tatacara keselamatan bagi jenis laman yang boleh atau tidak boleh dilayari oleh anak anda. Tetapi melalui enjin carian seperti Google dan Yahoo, bagi anak anda yang sudah boleh membaca, mereka mungkin akan menaip kata kunci carian seperti “games” dan sebagainya. Mereka masih tetap berisiko. Paparan iklan permainan yang ditunjukkan mungkin membawa mereka ke laman permainan yang direka khas bagi orang dewasa.

Selain itu, selepas anak anda menggunakan enjin carian ini, anda boleh menyemak semula laman-laman yang telah mereka layari dengan melihat history pada pelayar web anda. Anda juga boleh melihat kata kunci yang “terlekat” pada kotak carian.

Adakah anda terfikir untuk memasang Internet bagi kegunaan anak anda di rumah? Fikirkan dua kali. Dengan Internet, anda telah membuka pintu rumah anda ke dunia luar. Adakah anda cukup berani membiarkan anak yang berusia tujuh tahun berjalan ke kedai sebelum mengajar mereka bagaimana melintas jalan?