Tahniah, Anda Hamil! Apa Yang Perlu Anda Tahu Seterusnya?
Anda mesti mempunyai banyak soalan. Tidak kira jika ini adalah kehamilan anda yang pertama atau anda ingin menambah ahli keluarga anda. Salah satu daripadanya ialah tentang penjagaan kesihatan. Sepanjang 40 minggu hamil, pelbagai perubahan fizikal dan mental yang anda dihadapi.  Oleh yang demikian, siapkan diri dengan segala info agar anda seronok sepanjang kehamilan.

8 Perkara Perlu Anda Tahu Untuk Kehamilan Sihat :

1. Pemeriksaan Antenatal
Penjagaan antenatal sangat penting untuk memastikan anda dan bayi sihat sepanjang kehamilan. Berjumpa doktor O&G sejak awal kehamilan membolehkan mereka memantau kesihatan dan perkembangan bayi dan anda dari semasa ke semasa.

2. Jaga Pemakanan
Sebenarnya, dalam kehamilan tiada istilah makan untuk dua orang. Ketahuilah bahawa keperluan tenaga ibu hamil tidak berubah sepanjang enam bulan pertama kehamilan mereka. Keperluan ini mula meningkat sedikit ketika tiga bulan terakhir kehamilan iaitu penambahan lebih kurang 200 kalori sehari. Yang penting, ibu hamil perlu mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang. Pada masa yang sama, pastikan makanan yang diambil bersih bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.
Sekiranya berpuasa, pastikan anda bersahur dan berbuka dengan makanan yang berkhasiat. Hidangan anda mestilah mengandungi protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral. Cegah dehidrasi tubuh dengan perbanyakan minum air kosong pada waktu malam.

3. Pengambilan Asid Folik
Asid folik penting bagi ibu hamil kerana boleh membantu mencegah masalah spina bifida dan masalah kecacatan tiub neural. Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian asid folik sebanyak 400mcg bermula semasa pembenihan dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan.

4. Bersenam
Senaman boleh memberi kekuatan dan ketahanan pada ibu hamil. Senaman juga akan memudahkan ibu hamil kembali ke bentuk tubuh asal selepas bayi anda dilahirkan. Semasa hamil, wanita digalakkan melakukan senaman lantai pelvik bagi menguatkan otot sekitar pelvik yang membantu mengelakkan daripada berlakunya inkontinens, yang selalu dialami oleh wanita hamil. Tekanan inkontinens adalah terkencing akibat aktiviti tertentu seperti bersin, ketawa atau bersenam.


 5.  Pakaian Dan Kasut Ketika Hamil
Sepanjang kehamilan, ibu-ibu disarankan agar memakai pakaian yang longgar dan tidak mencengkam terutamanya pada bahagian pinggang. Pastikan juga pakaian tersebut menggunakan fabrik yang mudah serap peluh seperti kain kapas. Pada masa yang sama, pakaian dalam juga perlu yang sesuai iaitu khas untuk wanita hamil. Untuk kaki, pilihlah kasut bertumit rendah dan diperbuat daripada kanvas atau kulit yang membantu memberi sokongan kepada tapak kaki anda.

6.  Hadkan Pengambilan Kafein
Sesetengah penyelidik berpendapat bahawa pengambilan terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko keguguran dan melahirkan bayi yang tidak cukup berat. Pakar memberitahu bahawa jumlah pengambilan kafein yang tidak memudaratkan ialah sekitar 150mg hingga 300mg, dalam 3 cawan. Walau bagaimanapun, pengambilan kafein yang kurang daripada kadar tersebut adalah lebih baik.

7. Atasi Morning Sickness Morning sickness merupakan masalah paling biasa berlaku pada awal kehamilan tetapi tahap keseriusannya berbeza antara wanita. Masalah ini tidak akan mengancam bayi dalam kandungan selagi anda mampu untuk menyimpan sebahagian daripada apa yang dimakan. Sama penting adalah anda harus banyak minum air. Makanlah makanan seimbang jika anda boleh, tetapi jika berasa amat loya, makan apa saja yang mampu.

8. Rehat Secukupnya
Ibu hamil disarankan agar mendapatkan rehat secukupnya. Jika sakit belakang mengganggu tidur, cubalah berurut. Tapi, pastikan urutan tersebut dilakukan oleh individu yang berpengalaman. Selain itu, senaman dan aktiviti santai juga boleh membantu meredakan tekanan yang dihadapi.