Bekerja kerana Suka atau Terpaksa?

Wednesday, March 06, 2013


Assalamualaikum wbt...
Mungkinkah anda pernah mengalami situasi di mana terpaksa bekerja lantaran tidak mahu bergelar penganggur terhormat? Bagaimana prestasi kerja anda? Adakah disebabkan keterpaksaan itu menyebabkan semangat kerja anda menjadi lebih berkobar-kobar? Tentu tidak, bukan? Disebabkan terpaksa, kita merasakan kerja sebagai beban. Tidak ada semangat untuk bekerja, produktiviti lemah dan boleh menyebabkan kesihatan mental dan fizikal merosot. Paling teruk jika kehidupan juga makin jadi tidak terurus. 

Tidak semua perkara yang kita hendak kita boleh dapat di dunia ini. Begitu juga dengan perihal kerja. Bukan semua orang bernasib baik dapat memiliki kerja dalam bidang yang mereka impikan. Walau bagaimanapun, tidak selamanya akan berada dalam situasi terpaksa sekiranya kita bijak mencari jalan penyelesaian. Ada juga yang pada mulanya ‘terpaksa’ tetapi setelah mencuba, dia dapat menyesuaikan diri dan akhirnya minat dengan kerja yang dia lakukan itu. Hakikatnya, jika dapat bekerja, itu sudah dikira baik. Yang penting sumber rezeki itu hal dan kita patut bersyukur dengan apa yang kita dapat. Sehubungan dengan itu, untuk ruangan Rencana kali ini, Dara.com berkesempatan menemu bual dua orang tokoh yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Hushim Haji Salleh, Pakar Perunding Motivasi dan Kaunseling dan Ustaz Abu Hassan al Ash’ari Zakaria, Exco Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDAS) bagi mengupas isu berkenaan. 

Tetapkan Hala Tuju 
Menyuluh daripada pandangan Haji Hushim, beliau mengakui ketidakkepastian pilihan kerjaya membuatkan ramai dalam kalangan kita bekerja dalam keadaan terpaksa. Terpaksa disebabkan beberapa perkara seperti ketiadaan kerja, dipaksa oleh keluarga, tidak mahu bergelar penganggur, ada komitmen besar dan sebagainya. “Selepas berjaya menamatkan pengajian tinggi di Institut Pengajian Tinggi (IPT), masih ramai yang tidak pasti kerjaya apa yang sesuai dengan diri mereka. Ada yang merasakan kerjayanya mestilah daripada bidang yang dipelajari. Ataupun ada juga yang tidak kisah kerja apa yang diceburi walau berlainan dengan apa yang dia belajar, janji ada kerja dan dapat gaji. Seharusnya, sebelum memulakan pekerjaan kita telah menetapkan hala tuju dan perlu ada cita-cita yang jelas. Dengan cita-cita, anda akan menentukan hala tuju perjalanan anda untuk meneruskan pengajian. Katakan anda mahu menjadi seorang guru, terdapat dua pilihan. Ke maktab atau ke universiti? Masing-masing mempunyai kelebihannya. Dengan itu, buatlah sesuatu pekerjaan yang anda minat. Maksudnya, pilihlah minat anda dalam menentukan pekerjaan anda kelak. Ini kerana boleh berlaku keburukan dalam masa panjang jika kita tidak mempunyai minat dalam sesuatu yang kita lakukan. Keburukannya ialah kita akan tertekan dengan kerjaya tersebut dan ini boleh menyebabkan kita melakukan kerja dengan tidak ikhlas. Hasilnya juga tidak memuaskan hati. Tetapi, sebenarnya minat itu boleh dipupuk dan tidak mustahil ‘paksa boleh bertukar menjadi ‘rela’,” katanya. 

Peluang pada Masa Hadapan 
Di samping itu, pemilihan kerjaya juga perlu selaras dengan peluang pada masa hadapan. Untuk itu, anda perlu bijak menganalisis pasaran kerja supaya anda tidak tergolong dalam kelompok penganggur atau ‘terpaksa bekerja’. “Katakan sebagai contoh, program ijazah mengambil masa lima tahun, apakah dalam lima tahun lagi ada peluang pekerjaan untukku? Bagaimana dengan persaingan? Bagaimana dengan kelayakan minimum? Anda perlu bijak memilih bidang anda. Bidang-bidang yang semakin berkembang dan penawaran yang wujud. Oleh itu, sebaik-baiknya bagi pelajar yang masih menuntut, anda perlu bijak memilih agar tidak menyesal di kemudian hari. Bertanya orang yang berpengalaman adalah kaedah terbaik bagi mendalami minat anda dan seterusnya dapat membantu anda membuat pilihan tepat dalam bidang kerjaya anda. Kita sedar atau tidak, kerja yang dimulakan tanpa minat akan menjadi pasif. Lambat laun anda akan hilang semangat dan mudah berasa bosan. Oleh itu, sebelum menceburi bidang alam pekerjaan, carilah kerja yang diminati untuk membina kecemerlangan dalam kerjaya,” ulasnya lagi. 

Islam Pupuk Budaya Kerja Berkualiti 
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Siadina Umar al-Khattab yang bermaksud: “Keadaan yang paling aku sukai apabila ajal menjemputku ialah apabila aku sedang berjihad di jalan Allah. Kemudian, keadaan di mana aku sedang mencari rezeki kurniaan Allah. Kemudian, beliau lantas membaca ayat daripada firman Allah yang bermaksud: “Dan sebahagian manusia berjalan di muka bumi mencari sebahagian daripada (rezeki) anugerah Allah. Sebahagian yang lain pula berperang di jalan Allah.” (Al-Muzammil:20). 

Berikut hadis dari Rasulullah yang bersabda: “Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat kerana mencari rezeki halal maka dia bermalam dalam keampunan (Allah). (Riwayat Ibnu Asakir daripada Anas) 

Bertanya isu ini dari sudut pandangan Islam, jelas Ustaz Abu Hassan, Islam melihat pekerjaan sebagai sesuatu yang cukup bernilai apatah lagi memperoleh pendapatan yang halal adalah suatu jihad. Hakikatnya, Islam amat menekankan budaya bekerja yang ikhlas dan amanah supaya hasil kerja berkualiti. Justeru untuk mendapatkan kualiti, tentunya memerlukan pekerja yang memiliki semangat dan tanggungjawab terhadap kerjanya tanpa dipaksa atau terpaksa. “Dalam konteks Islam, kualiti dan kecemerlangan bekerja tidak boleh diukur dari sudut pertimbangan manusia semata-mata. Tetapi, yang lebih penting mengikut ukuran dalam mencari keredaan Allah SWT. Bagi orang Islam, kualiti dan kejayaan sebenar apabila pekerjaan yang dilakukannya diredai dan diberkati oleh Allah. “Apa yang pasti, kualiti dan kecemerlangan hanya akan tercapai jika seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya dalam pekerjaan dengan hati yang rela, dedikasi dan penuh bermotivasi. Bukannya berasaskan dorongan material mahupun ganjaran semata-mata. Tetapi, lebih utama apabila didorong oleh semangat dalam dirinya. Seterusnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah, di samping untuk mendapat keredaan-Nya,” ujarnya. 

Amanah dalam Kerjaya 
Akui Ustaz Abu Hassan, budaya kerja yang tidak diterap dengan nilai-nilai Islam boleh menjadi barah sosial dalam masyarakat kita. Gaya hidup yang sedemikian menjadi punca membiaknya pelbagai penyakit sosial seperti rasuah, penipuan, pecah amanah, curi tulang dan sebagainya yang boleh merencatkan produktiviti. Justeru dalam mencipta budaya kerja yang lebih berkualiti, kita perlu memanfaatkan nilai-nilai positif dan dinamik yang berlandaskan pada budaya dan agama Islam 
sejati. 

“ Dalam Islam, amanah adalah salah satu sikap terpuji yang jelas dan terang telah dinyatakan bahawa amanah itu sangat penting dalam menjalani kehidupan seharian. Kepentingan sikap amanah ini adalah untuk mendidik diri kita menjadi orang mukmin sebagaimana yang dimiliki oleh para nabi dan rasul dengan pegangan Siddiq (Benar), Amanah, Tabliq (Menyampaikan) dan Fatanah (Bijak). Sudah tentu sebagai hamba-Nya, kita disuruh untuk melakukan apa sahaja dengan amanah. Baik dalam memenuhi tuntutan sebagai umat-Nya, terhadap keluarga, masyarakat, diri sendiri mahupun pekerjaan yang dilakukan. Amanah tidak boleh dipandang enteng, kerana Allah memberi hukuman berat kepada mereka yang tidak beramanah. Sebab itu sekiranya kita berniat menerima sesuatu pekerjaan kerana-Nya, insya-Allah ia akan melahirkan sikap amanah dari dasar lubuk hati dan kekal sampai bila-bila. Sebaliknya jika kita niat selain kerana- Nya, maka sikap amanah itu akan terhakis dan kemungkinan boleh diselaputi dengan sikap yang tidak bermoral. Untuk itu, marilah kita sama-sama mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang memiliki sifat Siddiq, Amanah, Tabliq dan Fatanah. Jika kita mempunyai sifat-sifat mulia ini barulah kita layak untuk mendapat keredaan-Nya di samping memasuki syurga-Nya,” katanya lagi. Dalam Surah Al-Anfal ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang membawa maksud: 
“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya.” 

Amanah tidak boleh dikhianati, sekiranya dikhianati akan membawa kesalahan yang sangat tidak baik untuk diri kita. Pekerja yang tidak beramanah akan melakukan pekerjaan tanpa panduan dan tatatertib yang betul. Setiap perbuatan salah yang dilakukan akan menerima balasan setimpal daripada Allah SWT. Paling penting, cabaran masa kini yang memerlukan iman yang kuat di dada lantaran banyak masalah sosial yang sedang berleluasa. Walau bagaimanapun, jika niat dan minat yang mendalam terhadap pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta diiringi usaha yang berterusan, Insya-Allah akan melahirkan sikap amanah dengan sendirinya dalam diri kita tanpa didorong oleh paksaan. “Mudah-mudahan setiap pergerakan dan rezeki yang kita perolehi hasil daripada keberkatan dari-Nya dan jauhkan diri kita dari sikap culas dan malas dalam pekerjaan yang kita lakukan. Selagi diri berpegang teguh pada nilai-nilai Islam, Insya-Allah kita terhindar dari perbuatan tidak beramanah,” jelasnya lagi.

1 comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧