Lindungi Si Kecil Di Pusat Beli-Belah!

Sunday, March 17, 2013


Assalamualaikum wbt..
Merancang untuk membawa anak anda ke pusat membeli belah? Bagaimana untuk mengelakkan kemalangan, kehilangan atau kecederaan si manja sepanjang kunjungan anda ke sana? Isu keselamatan anak di pusat membeli belah sering kali menjadi topik perbualan terutama sekali ketika musim perayaan atau jualan mega berlangsung. Ramai daripada kita tidak menyedari dalam keghairahan membeli belah, keselamatan si kecil terabai sehingga menyebabkan pelbagai hal yang tidak diingini seperti kehilangan atau kecederaan di eskalator berlaku. 

Pada peringkat usia tiga hingga empat tahun si kecil sudah pandai berjalan dan berlari. Mereka aktif dan bertenaga serta mudah tertarik dengan apa sahaja objek dan gajet yang wujud di sekeliling mereka. Andainya ibu bapa leka dengan hal lain berbanding pergerakan anak-anak, ia akan mendorong kepada risiko bahaya! Apatah lagi, kanak-kanak di peringkat usia begini masih belum pandai menerangkan tentang diri mereka sendiri kepada orang lain misalnya nama, nama ibu bapa, nombor telefon dan sebagainya. 

Didikan awal elak kejadian tidak diingini 
Bagi mengupas topik ini, Phang Sau Lian, Pengarah Pemasaran Pusat Membeli Belah Sunway telah ditemu ramah untuk berkongsi tip dan idea untuk mempertingkatkan tahap keselamatan kanak-kanak di pusat membeli belah. Menurut Phang, si manja yang masih kecil terdedah kepada pelbagai kejadian tidak diingini sekiranya cuai dan enggan mengikut garis panduan yang telah dibuat di sekitar pusat membeli-belah. 

“Kemalangan, kecederaan dan insiden kanak-kanak hilang adalah perkara yang sering terjadi di pusat membeli belah di seluruh dunia. Oleh sebab itu, peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan keselamatan anak-anak ketika membeli belah. Didikan daripada peringkat awal tentang tata cara penggunaan prasarana seperti eskalator dan lif di pusat membeli belah dengan cara yang betul akan dapat mengelakkan perkara tidak diingini ini berlaku,” kata Phang.

Insiden anak hilang 
Insiden anak hilang juga bukanlah perkara asing di pusat membeli belah. Dengan jumlah pengunjung yang mencecah jutaan orang setiap bulan, pastinya dicelah kesibukan urusan jual beli ada insan kecil yang terleka dengan dunia sendiri sehingga terputus hubungan dengan ibu bapa. Menurut Phang, kejadian ini boleh dielakkan sekiranya ibu bapa memberikan perhatian kepada anak mereka. 
“Kanak-kanak pada usia tiga hingga empat tahun memerlukan perhatian yang khusus daripada ibu bapa bagi mengawal pergerakan mereka. Selain itu, orang di sekeliling juga memainkan peranan utama untuk mengingatkan ibu bapa supaya memberi perhatian kepada anak mereka bagi mengelakkan mereka hilang,” ujar Phang.
 
Antara langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mengelakkan kejadian anak hilang di pusat membeli belah ialah tidak sesekali meninggalkan si kecil seorang diri. Hal ini kerana meninggalkan anak seorang meningkatkan risiko kepada kehilangannya atau faktor penyebab kepada jenayah seperti penculikan. Selain itu, ibu bapa perlu sentiasa mengingati pakaian yang dipakai oleh anak ketika hari kejadian untuk memberikan gambaran tepat bagi memudahkan gerakan mencari dijalankan sekiranya mereka hilang. Ibu bapa juga perlulah sentiasa membawa foto terkini anak untuk memudahkan mereka dicam dan proses pencarian juga boleh disingkatkan. 

“Ibu bapa boleh mengajar anak untuk sentiasa berjalan bersama mereka dalam jarak yang rapat atau memegang tangan mereka untuk mengelakkan insiden hilang. Selain itu, perkenalkan mereka kepada pekerja kaunter Concierge, polis dan polisnita yang memakai pakaian seragam khas semasa mula-mula sampai. Selalu ingatkan mereka untuk meminta bantuan pekerja-pekerja beruniform ini yang sentiasa berada di sekitar pusat beli-belah sekiranya mereka hilang,” kata Phang mengulas mengenai tindakan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa tentang insiden anak hilang. 

Bagi ibu bapa yang kehilangan anak di pusat membeli belah, mereka perlulah berada lokasi terakhir si manja dilihat kerana kemungkinan si manja akan kembali ke lokasi mereka hilang. Selain itu, hubungilah talian kecemasan pusat membeli belah tersebut untuk melaporkan kejadian. Seperti di Sunway Pyramid, menurut Phang gelang khas disediakan secara percuma kepada pengunjung cilik. Maklumat seperti nama dan nombor telefon ibu bapa boleh ditulis pada gelang tersebut yang boleh didapati di kaunterconcierge. Selain gelang, penggera atau beeper juga disediakan secara pinjaman. Alat ini terdiri daripada dua unit iaitu receiver dan sender. Sender ini boleh dipakaikan kepada si manja danreceiver yang ada pada anda akan berbunyi jika si kecil berada di luar jarak yang telah ditetapkan. 
ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan anak mereka ketika di pusat membeli belah. Bagaimanapun, kerjasama daripada pelbagai pihak boleh membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kejadian anak hilang di pusat komersial ini. Mulakan mendidik si manja hari ini supaya mereka tahu untuk bertindak sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini. Siapa tahu, bila kejadian ini akan berlaku kerana malang selalunya tidak berbau. 

INFO TAMBAHAN: 
Langkah keselamatan di eskalator? 
Prasarana seperti eskalator adalah antara kemudahan yang perlu ada di setiap pusat membeli belah. Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, anda boleh mencuba tip berikut: 
  1. Didik anak menggunakan eskalator dengan cara yang betul sejak dari awal lagi untuk mengelakkan kemalangan dan mengubah persepsi mereka bahawa objek tersebut bukanlah permainan. 
  2. Cara yang betul menggunakan eskalator bersama anak ialah dengan memimpin kemas tangan mereka dengan sebelah tangan manakala sebelah lagi tangan anda memegang rel eskalator. 
  3. Beritahu mereka untuk memastikan kasut yang dipakai sentiasa berada di dalam petak kuning. 
  4. Dukunglah si kecil yang masih tidak mampu atau tidak yakin menggunakan eskalator sendiri, jangan memaksa. 
  5. Pastikan anak anda tidak berkaki ayam dan jika memakai kasut, tali kasut mereka perlulah terikat kemas.

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧