Monday, March 04, 2013

Mengapa Sukar Memaafkan?

Maaf Memaafkan, bukannya mudah. Bagaimana mungkin kemaafan diberikan begitu sahaja setelah hati disakiti. Namun adakah berdendam dan menyimpan rasa marah itu membahagiakan? Sudah tentu tidak malahan sebaliknya anda rasa lebih sakit dan tidak keruan kerana masih ada perkara yang belum selesai dan menyesakkan jiwa. 

Kebahagiaan atau penderitaan tidak perlu mencari siapa yang bersalah, atau yang menyebabkan hidup anda menderita. Anda harus mampu memaafkan orang lain  yang telah menyakiti hati anda. Mohonlah keampunan kepada Allah untuknya dan sikap itu membuatkan anda termasuk orang yang diberikan rahmat oleh Allah. Jika  anda disakiti bererti anda sedang teraniaya. Orang yang teraniaya adalah orang yang sedang diuji sekali gus diberikan kemudahan oleh Allah. Allah memberikan dua  pilihan membalas perbuatannya atau memaafkan. Jika anda tidak membalas tetapi bersabar dan memaafkan orang yang telah menyakiti anda maka Allah akan memberikan  ampunan dosa-dosa anda dan Allah menganugerahkan kepada anda kehidupan yang lebih sihat, indah dan membahagiakan.
 
Pilihan terletak di tangan anda. Jika anda memilih kebahagiaan, kemaafan adalah sesuatu yang indah sebaliknya jika anda lebih suka berdendam, jiwa anda tidak  kan damai dan sentiasa sesak seolah-olah ada yang menusuk di dada. Di dalam al-Quran, terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah:  mendapat keampunan daripada Allah SWT. “..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (An-Nuur [24] : 22)  Mendapat redha Allah SWT. “...sesiapa yang  memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang  sebaikbaiknya).  Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”. (Asy-Syura [42] : 40)
 
Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh (jahil atau tidak mengetahui)
(Surah Al- A’raf 7: Ayat 199)
Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” [HR Muslim] 
“Orang yang paling sabar di antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)
 

Lupakan segalanya

Setelah memaafkan, jangan peduli apa yang telah berlaku sebaliknya teruskan perjalanan hidup anda dengan melupakan segala yang berlaku dan anggaplah ia satu pengalaman indah dalam hidup. Ingatlah, pasti ada yang lebih baik dalam aturan Allah di perhentian masa depan, jika tidak terus melangkah anda tidak akan sampai ke perhentian itu! Rancangan Allah maha sempurna, jangan calitkan dengan sedikit keraguan pun. Berdoalah agar diberi kekuatan, gantikan tangisan dengan senyuman dan ujian yang diberikan sebagai kekuatan untuk terus melangkah dan lebih dekat kepada- Nya. Sedarilah sesungguhnya, tiada yang lebih mengerti perasaan anda melainkan Allah SWT. Tiada yang lebih dekat dengan anda melainkan Allah jua. Maka mintalah dan mengadulah segalanya dalam sujud  kepada-Nya. luahkan segala yang terbuku di dalam dada dan berserahlah kepadanya. Insya-Allah segala yang sukar akan dipermudahkan. 
 
Namun, kemaafan haruslah dengan keikhlasan kerana tanpanya anda masih terasa buntu dalam menemui erti ketenangan sebenar. Muhasabahlah. Mungkin tanpa disedari ketika bibir laju memohon keampunan, kemaafan masih belum dihulur. Jadi bagaimana ketenangan dinikmati andainya masih lagi berbekas rasa marah dalam hati. Anda ingin  Allah mengampunkan dosa, tetapi anda lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah, membuat mereka terluka.
 
Memaafkan bukan mudah selagi anda  bernama  manusia yang fitrahnya berteman khilaf, selalu kalah dengan ujian Allah SWT. Tidak mahu mengaku kalah sedangkan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat  berbanding mukmin yang lemah. Anda juga kita terlupa yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dari-Nya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah  sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan. Jangan ingat yang membuatkan anda terluka itu kejam, sebaliknya anda lebih zalim kerana tidak mahu memaafkan.
 
Sedangkan Allah SWT, pemilik seluruh langit dan bumi, sedia mengampunkan hambanya sebagaimana sering ditegaskan dalam al-Quran bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mengapa anda sukar untuk memaafkan  sedangkan kita hamba yang begitu kerdil dan tidak lepas daripada melakukan dosa? Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi  dengan jerih payah. Maka, mengapa harus kita mengeluh kesah? Percayalah, apabila memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang, tenang, damai dan lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafk an setulus hati, dapat dirasakan hati bersorak girang. Hati terasa bebas daripada dendam dan amarah kerana tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi. 

No comments:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧