Thursday, June 27, 2013

Ajar Anak Mengaji

mengaji
Hendak mengajar si kecil mengaji memang mencabar. Tapi sebagai ibu bapa, anda perlu tegas dalam bab ini. Sebagai muslim, anda perlu mementingkan pengajaran agama sebagai asas penting anak-anak membesar menjadi anak soleh dan solehah.
 
Bila masa yang sesuai hendak mula mengajar ya? Tentu ramai yang keliru dalam hal tersebut. Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya. Maksudnya, lagi cepat kita dedahkan anak-anak dengan mengaji, lagi cepat mereka menjadi mahir.
 
Mungkin mula-mula, papa dan mama kenalah rajin mengaji. Inshaa Allah, bila anak tengok ibu bapa sering mengaji, maka mereka juga akan mengikut perbuatan tersebut. Dalam diri mereka tentu beranggapan bahawa mengaji itu satu keperluan yang penting bagi setiap orang.
 
Anak-anak kecil masih belum faham perkara yang baik dan tidak baik. Jadi seeloknya kita dedahkan mereka dengan perkara yang baik-baik sejak daripada kecil apatah lagi yang dituntut oleh agama.
 
Apabila mereka sudah biasa dengan rutin mengaji setiap hari, teruslah istiqamah dengan amalan tersebut. Jika boleh setiap hari selesai solat fardu, anda sekeluarga mengaji bersama-sama walaupun sekejap. Sudah pasti si kecil yang terkenal cepat belajar akan mengikutnya juga.
 
Kemudian, apabila mereka sudah terbiasa dengan amalan mengaji, terangkan kepadanya kepentingan amalan mengaji Al-Quran kepada setiap orang Islam. Terangkan dengan cara yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
 
Ajak anak mengaji ketika mood mereka ceria pada bila-bila masa. Misalnya, semasa anda sedang sibuk menyiapkan kerja rumah dan anak mahu mengaji, berhentilah membuat kerja dan ajar dia mengaji. Mungkin juga anda boleh bawa Iqra’ di dalam kereta dan ketika dalam perjalanan ke mana-mana, ia boleh dijadikan aktiviti bersama.
 
Kanak-kanak mempunyai hati yang sangat tulus dan bersih, maka apa sahaja yang diberitahu akan diserap oleh mereka dengan cepat. Walaupun demikian jangan amalkan paksaan untuk mendidik anak mengaji sehingga mereka menangis dan merasakan waktu mengaji adalah saat paling menyeksakan.

No comments:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧