Tuesday, April 07, 2015

Tip Mudah Ibu Bekerjaya

Image result for women workMenjadi ibu yang bekerja memerlukan anda bergerak pantas menguruskan diri sendiri, rumah tangga dan keluarga. Berfikiran kreatif dalam mengendalikan tugas harian di rumah membantu ibu menjadi lebih cekap dan efisien.
Sebaik pulang dari pejabat, ibu perlu menyinsing lengan memasak untuk keluarga pula. Dalam masa yang sama masih perlu memberi perhatian kepada anak-anak. Jika ada yang masih menyusu susu ibu, maka perlu disusukan dan pelbagai lagi kerenah si kecil yang lain.
Oleh itu ibu perlu bijak menyusun keperluan yang akan digunakan untuk tugas rutin seperti memasak, mengemas, mencuci pakaian dan sebagainya lagi. Berikut adalah beberapa contoh tip pantas yang boleh membantu ibu berkerjaya menguruskan tugas harian di rumah.
  1. Siapkan bahan asas memasak
Tugas memasak sebenarnya menjadi lebih mudah sekiranya segala macam bahan asas yang mengambil masa lama untuk disediakan seperti bawang, cili kisar, ikan, ayam, udang, sotong sudah tersedia. Oleh itu jadikan cuti hujung minggu untuk anda membuat persediaan mengisar cili, mengupas dan memotong bawang, menyiang ikan, sotong, udang dan sebagainya lagi. Untuk lebih mudah, anda boleh pekkan setiap bahan basah mengikut bahagian yang akan dimasak dalam sehari. Lebih mudah sekiranya anda sudah menetapkan jenis masakan dan bahan-bahan yang diperlukan untuk kegunaan lima hari bekerja. Cara ini mempercepatkan proses memasak malah memelihara kesegaran bahan basah yang dibeli.
  1. Menyediakan pes masakan
Kaedah ini juga dijamin menjimatkan masa memasak anda di dapur. Anda boleh menyediakan pes masakan seperti pes cili, pes kari dan sebagainya bagi memudahkan kegunaan masakan anda. Pes tersebut boleh dipelbagaikan untuk memasak lauk pauk, pasta, mee dan sebagainya.
  1. Mencuci pinggan mangkuk
Kadang kala tugas di dapur menjadi berganda selepas memasak kerana perlu menyelesaikan tugas mencuci pinggan mangkuk kotor pula. Mengapa perlu tunggu selepas makan? Anda boleh jimatkan masa dengan mencuci segala alatan yang digunakan dalam penyediaan memasak. Sementara menunggu lauk yang ditumis atau direneh, ringankan tangan untuk mengosongkan sinki daripada peralatan dapur yang kotor. Ia dapat menjimatkan masa anda.
  1. Membasuh dan menyidai pakaian
Jangan biarkan bakul pakaian kotor anda sentiasa penuh. Usah bertangguh untuk membasuh pakaian kotor. Kini kebanyakan rumah dilengkapi dengan mesin basuh bahkan ada yang mempunyai alat pengering. Oleh itu pastikan membasuh pakaian setiap hari agar anda tidak terbeban pada hujung minggu.
  1. Usah tangguh melipat pakaian
Ia antara tugas yang paling tidak digemari oleh kebanyakan ibu. Untuk menjimatkan masa, sebaik mengangkat pakaian dari ampaian, jangan bertangguh melipatnya atau menunggu sehingga pakaian menjadi ‘gunung’. Jika mempunyai anak yang besar, anda boleh meminta bantuan mereka melipat pakaian masing-masing. Biarpun awalnya lipatan mereka kurang sempurna tetapi percayalah latihan awal akan membuatkan mereka ringan tulang membantu.
  1. Menggosok pakaian
Tugas menggosok pakaian memang mengambil masa yang panjang. Jadi untuk menjimatkan masa, peruntukan masa pada hujung minggu untuk menggosokan stok seminggu pakaian anda dan suami serta anak yang bersekolah.
Dengan perancangan yang cekap, anda masih boleh meluangkan masa untuk anak-anak pada waktu malam selepas menikmati makan malam sekeluarga.

No comments:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧