Monday, March 07, 2016

Semoga dipertemukan..

Tragedi Highland Tower 1993 : Saya Harap Sangat Dapat Bertemu Kembali Dengan Nur Hamidah - Pegawai Bomba

Putrajaya: Pada 1993, pegawai bomba ini menjadi perhatian apabila dia menyelamatkan seorang bayi berusia 18 bulan yang terperangkap dalam runtuhan kondominium Highland Tower dan kini dia sangat berharap dapat bertemu dengan insan yang diselamatkannya itu.

“Jika diberi kesempatan dan diizinkan Allah, saya ingin bertemu dengannya,” kata Norizan Saad.

Harian Metro melaporkan Norizan, 46, antara watak penting dalam usaha menyelamatkan bayi berkenaan, Nur Hamidah Najib selepas dia ditemui terperangkap dalam runtuhan di Blok A Kondominium tersebut, 23 tahun lalu.

Dalam kejadian yang berlaku pada 11 Disember 1993 itu, seramai 48 mangsa dilaporkan maut apabila kondominium mewah itu tumbang menyembah bumi.

Mengimbau kembali tragedi itu, Norizan yang kini merupakan Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Pengurusan Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata ketika kejadian itu dia baru sahaja tiga tahun bertugas sebagai anggota bomba dan dipertugaskan untuk membawa turun adik Nur Hamidah.

“Dia (Nur Hamidah) terperangkap dalam runtuhan. Rakan setugas mengesannya selepas mendengar tangisan. Kita (anggota bomba) mengambil masa agak lama untuk mengeluarkannya kerana bimbang sebarang kesilapan akan menyebabkan runtuhan lain berlaku.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, Nur Hamidah diberikan kepada saya untuk dibawa keluar dari kawasan runtuhan,” katanya.

Tambah beliau, ketika itu adik Nur Hamidah hanya memakai lampin.

“Tangisannya memenuhi ruang...kuat dia menangis, bayi biasalah. Saya terus peluk dia sebelum bergegas membawanya keluar dari kawasan berkenaan.

“Saya serahkan Nur Hamidah kepada pasukan perubatan yang sudah menunggu di kawasan berkenaan sebelum kembali meneruskan tugas menyelamat,” katanya.

Nur Hamidah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

“Dia individu yang terselamat dalam insiden itu. Ia boleh dikatakan satu keajaiban,” katanya beliau

P/s : Semoga Penguasa Kanan Bomba II Tuan Norizan Saad dipertemukan dengan Nur Hamidah...

No comments:

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧